Pages

HARI PERTAMA PRA SEKOLAH BERSEKOLAH - 8 JANUARI 2018

Oleh Nurdiyanah R. - Ehsan daripada Media Permata
TUTONG, 8 Jan – Kegembiraan dan tangisan murid-murid Pra adalah gambaran lumrah yang dihadapi oleh para guru dan ibu bapa di setiap musim awal tahun persekolahan dan Sekolah Rendah Binturan, Tutong I, Daerah Tutong tidak terkecuali apabila seramai 23 orang murid Pra memulakan sesi pembelajaran mereka hari ini.
Guru Besar sekolah berkenaan, Dayang Hazibah binti Haji Abdul Manan menjelaskan bahawa sebelum ini, Bahagian Pentadbiran sekolah tersebut bersama guru-guru Pra telah mengadakan satu Program Orientasi Pra Sekolah.
Program yang telah diadakan pada bulan November lalu itu berlangsung selama tiga hari bagi kesemua murid Pra yang mendaftar di sekolah berkenaan, yang mana program tersebut diaplikasikan di setiap sekolah rendah kerajaan di Negara Brunei Darussalam.
Jelas beliau lagi, orientasi tersebut diadakan antara lain bertujuan untuk memberikan pendedahan awal kepada murid-murid Pra untuk sesi pembelajaran mereka di alam baru persekolahan.
Di samping itu, ia juga untuk membiasakan murid-murid berkenaan tentang sistem persekolahan sehingga dapat memupuk semangat setia kawan dan kerjasama dalam kalangan murid, guru dan ibu bapa serta penjaga murid Pra khasnya.

Seramai 23 orang murid Pra baru Sekolah Rendah Binturan bergambar ramai bersama Guru Kelas Pra B, Dayang Eda Zuryana binti Haji Mumin (belakang, dari kiri); Guru Kelas Pra A, Dayang Amalina; Guru Besar, Dayang Hazibah dan Penolong Guru Besar, Awang Hadiman bin Haji Rajali.

Sehubungan dengan itu, katanya, kesemua murid Pra baru yang terdiri daripada sembilan murid lelaki dan 14 murid perempuan itu telah dibahagikan kepada dua buah kelas iaitu Pra A seramai 12 orang murid, manakala Pra B pula seramai 11 orang murid kesemuanya.
Salah seorang murid Pra baru semasa ditemui Media Permata, Dayang Dhia Damia Qaisara binti Mohammad Zul Raimi, 5, telah mengatakan perasaan gembira dan seronok mengikuti alam persekola-han kerana dapat berjumpa kawan-kawan baru.
Pada hari pertama bagi sesi kemasukan murid-murid Pra baru di sekolah berkenaan pagi itu, beberapa aktiviti telah diadakan oleh guru-guru Pra untuk mewujudkan perhubungan yang baik antara guru dan murid, di samping membiasakan mereka dengan segala aktiviti-aktiviti harian semasa belajar di sekolah berkenaan.
Antara aktiviti yang dilakukan adalah cara menyusun kerusi dalam bilik kelas, perbarisan, cara membersihkan tangan sebelum makan dan membaca Doa Makan, mereka bentuk barang mengikut warna dalam seutas tali dan sebagainya.
Manakala Pegawai Pendidikan dalam bidang Sarjana Pendidikan Awal Kanak-kanak, Dayang Amalina binti Zakaria, juga selaku Guru Kelas Pra A, menyatakan bahawa sebelum para murid Pra baru memulakan sesi pembelajaran mereka di sekolah berkenaan, antara persiapan yang telah dilakukan ialah melalui penyediaan label nama bagi setiap murid yang dilekatkan pada tempat-tempat tertentu seperti meja, almari penyimpanan bekalan makanan murid dan juga rak kasut.
Hal tersebut bertujuan untuk memberi kemudahan para murid Pra baru untuk mengenal nama mereka secara tidak langsung dan juga untuk membiasakan mereka dengan persekitaran kelas, di samping melahirkan semangat berdikari dalam diri setiap murid sepanjang sesi pembelajaran di sekolah berkenaan.
Di samping itu, beliau juga menjelaskan bahawa penyediaan aktiviti-aktiviti menarik bagi para murid Pra baru adalah suatu kemestian bagi meningkatkan minat mereka terhadap alam persekolahan.

Dayang Amalina semasa memberi tunjuk ajar kepada para murid Pra baru dalam menyelesaikan aktiviti mereka bentuk alat permainan mengikut warna dalam seutas tali sebagai salah satu aktiviti di kelas tersebut, kelmarin.
Antara ragam murid-murid Pra baru di Sekolah Rendah Binturan pagi kelmarin.
Dayang Dhia Damia Qaisara mengatakan gembira dan seronok mengikuti sesi pembelajarannya di sekolah berkenaan.

“Terdapat tiga kaedah utama yang telah dirancang untuk diterapkan sepanjang sesi pembelajaran bagi murid Pra baru berkenaan iaitu melalui kaedah bercerita, nyanyian dan bermain.
Hal ini sudah setentunya bertujuan untuk memotivasikan mereka untuk sentiasa aktif di dalam kelas,” ujar beliau lagi.
Tambah beliau lagi, apabila berlaku situasi seperti terdapatnya antara murid yang menangis atau juga tidak mahu bersekolah, maka ia sudah setentunya menjadi tanggungjawab seorang guru untuk mengawal emosi murid berkenaan dan juga persekitaran kelas kerana perlu diketahui bahawa alam persekolahan adalah suatu perkara yang masih baru bagi mereka.
Dalam masa yang sama, beliau menaruh harapan agar para murid Pra baru tahun 2018 di sekolah berkenaan dapat mengikuti sepenuhnya semua aktiviti yang dijalankan sepanjang sesi pembelajaran berlangsung.
“Para ibu bapa juga perlu bekerjasama dengan pihak sekolah terutamanya kepada para guru kelas iaitu dengan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada guru-guru semasa anak-anak mereka berada di sekolah agar anak-anak mereka dapat menyelami dan menyesuaikan diri mereka dengan persekitaran yang baru dari semasa ke semasa,” ujar beliau kepada Media Permata.
Sekolah Rendah Binturan yang ditubuhkan pada tahun 1986 ini merupakan salah sebuah sekolah kerajaan yang terletak di dalam perkhemahan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Penanjong Garison, Daerah Tutong yang mana penubuhannya pada dasarnya adalah bagi memberikan kemudahan dan keselesaan pendidikan kepada anak-anak pegawai dan kakitangan ABDB yang bertugas di kem tersebut.

Pada masa kini, seramai 203 orang murid telah menuntut di sekolah berkenaan bermula dari Pra sehingga Tahun 6.
 Cikgu Amalina guru kelas bagi PRA A sedang di temubual daripada pihak media permata

0 comments:

Post a Comment

 
 
X-Steel - Wait